arena

Rooney intai pemain-jurulatih Derby

Oleh Reuters

BEKAS kapten England, Wayne Rooney berunding dengan Derby County mengenai hasrat untuk menyertai kelab Liga Kejuaraan itu sebagai pemain-jurulatih, lapor Sky Sports News awal pagi tadi.

Pengurus baharu Derby dari Belanda, Phillip Cocu bagaimanapun enggan mengulas laporan itu namun Sky menyatakan penjaring gol terbanyak England itu dijangka berlepas ke Midlands untuk membincangkan butiran perjanjian.

Penyerang berusia 33 tahun bekas pemain Manchester United dan Everton itu, yang masih berbaki dua tahun kontraknya bersama kelab MLS, DC United, sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk memulakan karier pengurusan.

BBC melaporkan pemilik Derby, Mel Morris percaya Rooney boleh membantu kelab itu kembali ke Liga Perdana Inggeris.

“Buat masa ini saya tak boleh kata apa-apa,” kata Cocu kepada Sky Sports selepas Derby menewaskan Huddersfield Town 2-1 pada aksi sulung kempen baharu Liga Kejuaraan, awal pagi tadi.

Derby melantik bekas rakan sepasukan Rooney dalam pasukan kebangsaan England, Frank Lampard sebagai pengurus musim lalu dan beliau mengemudi mereka ke final playoff namun Lampard sudah menyertai bekas kelabnya Chelsea.

Sky Sports menyatakan Rooney melihat Derby sebagai peluang ideal untuk belajar asas pengurusan sambil meneruskan kariernya sebagai pemain.

Rooney seorang peminat tegar corak latihan pengurus Belanda, Louis van Gaal ketika dia beraksi di Manchester United dan yakin bos Derby, Cocu mempunyai pendekatan sama.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 8:06am
d