arena

Waspada ancaman Vietnam

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SKUAD bawah 15 tahun negara (B-15) ditagih menampilkan persembahan bertenaga menentang Vietnam esok sama ketika menewaskan Australia tempoh hari.

Ketua jurulatih, P Maniam berkata, rekod lima perlawanan tanpa kekalahan peringkat kumpulan bukan jaminan laluan mudah untuk skuad negara dalam misi ke final kejohanan Piala AFF B-15.

Katanya, andai tersilap langkah hasrat Malaysia mungkin lebur kerana Vietnam selaku naib juara Kumpulan A adalah pasukan yang mempunyai kuaiti tersendiri.

"Kita tidak boleh ambil mudah cabaran Vietnam. Saya mahu pemain bermain sehabis baik seperti mana menentang Australia dan tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol.

"Bagi saya Vietnam bukan pasukan mudah ditewaskan. Mereka bagus ketika menyerang, pantas dan transisi cepat. Beberapa pemainnya juga ada kualiti dan laju," katanya dihubungi semalam.

Menurutnya, justeru semua pemain perlu sentiasa fokus dalam 90 minit perlawanan dan elak dibolosi lawan.

"Semua pemain perlu fokus dengan baik terutama barisan pertahanan dan saya yakin kita mampu mara ke final. Jangan bolos dan pastikan setiap peluang dimanfaatkan untuk menjaringkan gol," katanya.

Momentum kemenangan skuad B-15 berterusan apabila mengikat pasukan tuan rumah, Thailand, 1-1 sekali gus menamatkan saingan peringkat Kumpulan B sebagai juara.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 6:14pm
d