arena

Zaki resah taring kurang bisa

Oleh Mohd Amin Jalil

PENYUDAH kurang tepat dan sempurna dalam aksi sebelum ini ternyata meresahkan jurulatih Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad menjelang perlawanan kedua Kumpulan A saingan Piala Malaysia menentang PKNS FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pengendali berusia 59 tahun itu sedar kelemahan itu jika tidak diatasi boleh menjejaskan misi mereka memburu kemenangan pertama selepas Negeri Sembilan kecundang 1-3 kepada Kedah, di gelanggang sama, Sabtu lalu.

"Kelemahan utama setakat ini perlu diatasi segera adalah penyudah kurang tepat dan ini dapat dilihat pada aksi pertama menentang Kedah apabila banyak peluang jaringan dicipta tapi kerap tersasar.

"Namun kita sudah memberikan fokus dalam aspek itu dan mengatasinya dan berharap gandingan penyerang Almir Neto, Igor Luiz dan Ferris Danial dapat bersedia memberikan persembahan lebih baik dan mantap pada aksi menentang PKNS malam esok," katanya di sini, hari ini.

Zaki berkata, skuad bimbingannya itu perlu menang perlawanan berkenaan untuk terus bersaing dan meraih kedudukan terbaik dalam kumpulan sekali gus mengelak tercicir dalam perebutan tempat ke suku akhir.

Beliau yang baru mengambil alih tugas dan amanah itu daripada ketua jurulatih yang direhatkan, Mat Zan Mat Aris berkata, anak buahnya perlu melakukan tugasan dengan lebih baik dengan keupayaan menembusi gawang lawan.

"Saya berharap pemain dapat memanfaatkan sebaik mungkin aksi kedua di laman sendiri untuk mencipta kemenangan," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 6:35pm
d