arena

Luka Tok Gajah masih berbekas tapi...

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang perlu belajar daripada kesilapan apabila melayan kunjungan Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Khamis ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, tewas 3-4 pada separuh akhir kedua Piala FA kepada The Bos Gaurus dapat ditebus pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia.

"Sudah pasti kekecewaan itu tetap dirasai namun biarlah ia menjadi sejarah dan menjadikan (prestasi) Pahang lebih bagus dalam saingan Piala Malaysia.

"Kekalahan itu juga diharap membentuk disiplin dan komitmen tinggi daripada semua pemain untuk kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

"Kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang pada perlawanan pertama diharapkan meningkatkan motivasi pasukan tampil lebih bertenaga," katanya.

Mohammaed Suffian berkata, peluang beraksi di tempat sendiri dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Katanya, hanya dengan kemenangan saja dapat membantu mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan sebelum berkunjung ke Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Ogos ini.

"Kami tidak boleh terlepas mata di Kuantan.

Walaupun Perak dilihat berada dalam prestasi terbaik selepas menewaskan Sabah 3-0, kita tidak boleh mensia-siakan peluang mengutip tiga mata di laman sendiri," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 7:45pm
d