arena

Koscielny sertai Bordeaux

Oleh Agensi

KAPTEN Arsenal, Laurent Koscielny mengesahkan perpindahannya ke kelab Ligue 1, Bordeaux.

Menurut sumber kepada ESPN, pertahanan tengah Perancis itu tiba di Bordeaux semalam iaitu hari yang sama kedua-dua pasukan mencapai persetujuan dan melengkapkan ujian perubatan sebelum menurunkan tandatangan hari ini.

Koscielny, 33, enggan mengikuti jelajah Arsenal di Amerika Syarikat selepas tidak sehaluan dengan kelabnya.

Pengurus Gunners, Unai Emery mahu pemain pertahanan itu kekal di utara London tetapi selepas berlatih bersama skuad B-23 selama sebulan, Koscielny akhirnya mendapat pelepasan dan akan kembali ke Ligue 1.

"Kami berterima kasih di atas sumbangannya kepada kelab dan berharap dia meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.

Koscielny menyertai Arsenal dari Lorient pada 2010 dengan harga €10 juta (RM46.79 juta) dan melakukan lebih 300 penampilan bersama Gunners serta menjuarai Piala FA tiga kali.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 10:38pm
d