arena

Shakir mahu Lang Merah terus pulun lawan

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN pertahanan import Kedah, Shakir Hamzah mahu Lang Merah memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri melayan kunjungan Terengganu FC pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Khamis ini.

"Semangat kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi, Sabtu lalu sudah kami perolehi. Matlamat seterusnya kini adalah pastikan tiga mata kedua diperolehi di Darul Aman.

"Saya amat mengharapkan momentum ini berterusan dan langkah kanan yang Kedah perolehi dalam perlawanan pertama lalu mampu membakar semangat untuk perlawanan kali ini.

"Ini perlawanan pertama Piala Malaysia di laman sendiri dan sudah pasti kami tidak akan melepaskan peluang terbaik dalam usaha memburu kemenangan kedua," kata pemain dari Singapura itu.

Shakir berkata motivasi beliau turut melonjak apabila berjaya membantu pasukan dengan menghasilkan gol kedua Kedah pada aksi pertama Lang Merah di Stadium Paroi, Sabtu lalu.

"Jaringan kedua dihasilkan membakar semangat saya untuk terus memberi usaha yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia ini.

"Kami berharap mendapat sokongan padu daripada semua penyokong Lang Merah di Stadium Darul Aman dalam usaha memburu kemenangan."

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 10:59pm
d