arena

Rooney sedia berdepan cabaran

Oleh Reuters

BEKAS kapten England, Wayne Rooney berkata dia perlu berusaha keras dalam memenuhi tuntutan saingan Liga Inggeris selepas menandatangani perjanjian menyertai Derby County dari kelab Liga Amerika Syarikat (MLS), DC United sebagai pemain serta bakal bertindak sebagai jurulatih pada Januari nanti.

Dalam usaha bersaingan dalam liga kedua Inggeris itu, Derby berkata pemain berusia 33 tahun menandatangani kontrak 18 bulan dengan pilihan tambahan setahun.

Ia termasuk berkhidmat sebagai jurulatih buat pasukan utama dan akademi kelab itu dalam usaha pemain itu memburu impian menjadi jurulatih.

Ditanya pada sidang media mengapa dia menerima cabaran itu, bekas penyerang Everton dan Manchester United, Rooney berkata : “Inilah bola sepak, apa yang saya lakukan sepanjang kehidupan dan apa yang saya gemari.

“Sehingga tubuh badan saya mengatakan tidak boleh melakukan lagi, sehingga itu saya akan teruskan.

“Kita hanya perlu tunggu dan lihat bagaimana (menguruskan prestasi). Saya seorang pemain yang tahu kemampuan diri. Saya mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengetahui sama ada boleh beraksi atau sebaliknya.

“Tetapi saya rasa hebat. Saya beraksi sepanjang musim di Amerika Syarikat.”

Rooney yang mengagumi pendekatan latihan pengendali Belanda, Louis van Gaal ketika menguruskan pasukan di Old Trafford berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman di bawah kendalian bos Derby, Phillip Cocu yang juga dari Belanda.

“Peluang untuk kembali semula ke England dan beraksi selain memanfaatkan peluang sebagai jurulatih dan bekerja di bawah bimbingan Phillip adalah yang terbaik untuk membuktikan kemampuan.” tambah Rooney.

“Ada beberapa tawaran dari kelab lain dan pertanyaan mengenai saya namun saya membuat keputusan untuk datang ke sini dan inilah dia, saya tidak akan berganjak daripada keputusan ini.”

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 9:43am
d