arena

'Selesa status bukan pilihan'

Oleh Malik Muhamad

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) berdepan tugas getir meneruskan rentak kemenangan kedua bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok.

Ia diakui pemangku ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain yang lebih selesa meletakkan TFC sebagai pasukan bukan pilihan menentang juara Piala FA itu.

Beliau mengakui Lang Merah memiliki kelebihan di atas kertas apatah lagi beraksi di tempat sendiri yang mendapat sokongan moral tinggi daripada peminat setianya.

“Kedah masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA dan kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada aksi pertama peringkat kumpulan minggu lalu.

"Barisan depan skuad itu perlu diawasi kerana mereka antara pasukan memiliki jentera serangan paling tajam dalam liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya menyifatkan pertemuan kedua kempen Piala Malaysia itu pastinya cabaran getir buat Terengganu menyaingi lawan memiliki reputasi juara,” ujar Nafuzi.

Beliau mengambil alih tugas skuad Penyu bermula pertengahan Mei lalu susulan peletakan jawatan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Pada aksi pusingan pertama Liga Super musim ini, skuad Lang Merah menang 3-0 di tempat mereka sebelum seri 2-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Nafuzi berdepan situasi kecederaan menimpa empat pemain tonggaknya tetap tenang dan yakin anak-anak buahnya mampu mencapai sasaran mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

“Ketiadaan pemain itu tidak akan menjejaskan semangat pemain lain.

“Mereka sudah membuktikan kemampuan menundukkan PKNS 3-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan minggu lalu dan berharap pencapaian itu diulangi,” ujar Nafuzi, bekas penyerang Terengganu era-2000.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 3:00pm
d