arena

Dollah mahu mata maksimum

Oleh Asrol Awang

DOLLAH Salleh mahu skuad Pahang memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila melayan Perak dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia, malam esok.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, dua perlawanan berturut-turut di laman sendiri perlu disempurnakan dengan kejayaan mengutip enam mata maksimum.

"Selepas menang 3-1 ke atas Pulau Pinang Sabtu lalu, kami tidak boleh kehilangan mata di tempat sendiri biarpun Perak berada pada prestasi terbaik ketika ini.

"Fokus utama pasukan adalah mendapatkan tiga mata dan pemain perlu bijak dalam memberi tekanan kepada lawan," katanya.

Ditanya persediaan menentang Perak yang juga naib juara Piala FA musim ini, Dollah berkata, aksi lambat panas dan beberapa kelemahan ketika menewaskan Harimau Kumbang diharap tidak diulangi anak buahnya.

Justeru, katanya, jentera serangan diketuai Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi diharap lebih padu untuk membantu pasukan.

"Saya percaya dengan sokongan peminat Tok Gajah akan membantu skuad ini untuk berada pada prestasi terbaik," katanya.

Pada perlawanan Liga Super musim ini, Pahang mencatat kemenangan 1-0 dan seri 0-0 manakala tewas 3-4 menerusi agregat di separuh akhir Piala Malaysia kepada Perak.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 3:20pm
d