arena

Angkat berat kena tunggu September

Oleh Mohamed Farid Noh

JAWATANKUASA Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 hanya akan memuktamadkan sama ada acara angkat berat bakal disenaraikan pada edisi temasya itu di Johor, September ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata ketika ini status acara berkenaan masih belum diputuskan sama ada berdepan pengguguran atau disenaraikan pada temasya dwi tahunan bermula 11 Julai tahun depan.

"Acara angkat berat masih dalam pemerhatian lagi dan kita akan muktamadkannya dalam Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 pada September ini.

"Beberapa aspek dan perkara sedang dilihat sebelum keputusan muktamad dimaklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran logo dan maskot SUKMA ke-20 Johor di Senai, Johor Bahru, hari ini.

Hadir Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA ke-20 Johor, On Jabbar.

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata kedudukan sukan angkat berat untuk dipertandingkan pada temasya dwi tahunan itu di Johor tahun depan masih samar kerana perlu memenuhi kelayakan dan piawaian ditetapkan kementerian.

Ia gara-gara siri kes doping membabitkan sukan itu iaitu tiga kes dilaporkan pada SUKMA Perak 2018.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 6:11pm
d