arena

The City Boys belum temui penawar duka

Oleh Malik Muhamad

PENOLONG jurulatih Kuala Lumpur, Rosle Md Derus mendedahkan 'penyakit’ hilang keyakinan diri dalam kalangan pemain skuad The City Boys selepas tersingkir ke Liga Perdana musim depan memening kepalanya.

Justeru bagi mencari penawar, pihak pengurusan kini sedang `berubat’ untuk memulihkan penyakit itu bagi memastikan skuadnya mampu menjadi pencabar utama dalam saingan Piala Cabaran musim ini.

“Masalah tiada keyakinan diri dalam kalangan pemain selain semangat merosot sehingga menyebabkan prestasi kian menurun selepas tersingkir ke Liga Perdana kini terbawa-bawa ke perlawanan malam ini (malam tadi).

“Kelemahan paling ketara pemain tidak beraksi sebagai satu pasukan sehingga menyebabkan berlaku banyak kesilapan sekali gus membuka ruang buat TFC II (Terengganu FC II) menghasilkan gol.

“Selain itu pergerakan penyerang, pertahanan dan tengah banyak memberi ruang kosong terutama di bahagian tengah padang. Akibatnya apabila lawan melakukan serangan balas, kami sering menghadapi masalah.

“Jika persembahan pada malam ini (malam tadi) dijadikan ukuran dan tidak diubah, saya rasa kami akan menghadapi masalah untuk mencatat kemenangan pada aksi seterusnya. “Oleh itu kami perlu cari satu formula untuk menaikkan kembali semangat mereka,” ujar Rosle.

Pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, skuad Kuala Lumpur tewas 1-2 kepada juara edisi sulung musim lalu, TFC II hasil dua jaringan Bruno Suzuki manakala gol pelawat dijaringkan Paulo Josue.

Sementara itu, pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan disiplin dan keyakinan dipamerkan anak buahnya di semua posisi serta menguasai bola menjadi kunci kejayaan pasukannya menumpaskan pasukan Liga Super itu.

“Namun begitu masalah ketumpulan jentera serangan bermula daripada saingan Liga Perdana lagi masih menghantui kami, tapi jika dilihat komitmen individu sesuatu yang positif buat pasukan,” kata Tengku Hazman.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 7:24pm
d