arena

Zidane enggan bawa Bale ke Austria

Oleh AFP

KETEGANGAN hubungan Gareth Bale dan Real Madrid berterusan apabila penyerang itu tidak tersenarai dalam aksi persahabatan menentang Red Bull Salzburg awal pagi esok.

Bale hanya beraksi dua daripada lima perlawanan pramusim setakat ini dengan masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Arsenal dan Atletico Madrid dan sekarang disisihkan buat kali ketiga berturut-turut.

James Rodriguez dan Mariano Diaz yang bakal dilepaskan turut tiada dalam senarai pemain ke Austria.

Zidane sebelum ini menegaskan Bale tidak termasuk dalam perancangannya untuk memulihkan Real Madrid susulan prestasi mengecewakan musim lalu.

Kelab itu lebih berminat menandatangani pemain tengah Manchester United, Paul Pogba dengan bintang Tottenham, Christian Eriksen dan pemain muda Ajax, Donny van de Beek turut menjadi sasaran mereka.

Tetapi Real perlu terlebih dahulu memenuhkan kantung mereka selepas membelanjakan hampir 300 juta euro (RM1.415 bilion) pada musim panas ini.

Zidane bulan lalu berkata, penjualan Bale adalah yang terbaik tetapi ejen Bale, Jonathan Barnett mengkritik kenyataan itu dengan menyifatkan Zidane memalukan apabila tidak menghormati pemain yang telah banyak berjasa kepada Real Madrid.

Bale pula tidak perlu tergesa-gesa meninggalkan Santiago Bernabeu kerana kontraknya hanya tamat pada 2022 dengan nilai 18 juta euro (RM85 juta) setahun.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 10:19pm
d