arena

The Cops bangkit bedil The Fighters

Oleh Nazri Abu Bakar

BERAKSI dengan 10 pemain tidak menghalang kebangkitan PDRM menewaskan FELDA United 4-3 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Kekurangan pemain selepas Farid Ramli diperintah keluar padang berikutan mengutip kad kuning kedua pada minit ke-53 ketika ketinggalan 1-3, The Cops bangkit menerusi dua jaringan R Gopinathan pada minit ke- 78 dan 88 serta gol kemenangan pada minit ke-90 menerusi Azmizi Azmi.

Namun pada awal saingan FELDA mencipta percubaan seawal minit pertama menerusi Jocinei Schad tetapi sedikit tersasar ke kanan gawang tuan rumah.

The Cops turut melakukan percubaan berbahaya tiga minit selepas itu namun rembatan R Gopinathan ditepis keluar penjaga gol Norazlan Razali.

Lebih banyak menguasai babak awal permainan pelawat yang sering mengasak akhirnya membuka jaringan pertama a pada minit kesembilan menerusi S Chanturu yang bijak melambung bola ke dalam jaring selepas menerima hantaran Jasazrin Razali.

Gol terbabit membuka nafsu besar buat anak buah jurulatih Nizam Jamil bagi menambah jaringan kedua pada minit ke-18 menerusi gerakan solo import Singapura Khairul Amri melepasi empat pertahanan tuan rumah untuk tolakan ke dalam gawang The Cops menewaskan penjaga gol Shahril Saari.

Penguasaan pelawat bagaimanapun cuba dipintas tuan rumah menerusi serang balas pantas namun percubaan Uche Agba pada minit ke-27 tersasar ke kanan gawang FELDA.

Akhirnya buruan gol terhasil buat anak buah E Elavarasan menerusi tandukan Patrick Ronaldinho pada minit ke-36 bagi merapatkan jurang.

Babak kedua menyaksikan persembahan The Cops lebih sukar akibat terpaksa beraksi 10 pemain selepas Farid diperintah keluar padang sehingga membolehkan Khairul Amri (m-56) menambah gol ketiga The Fighters.

Namun Gopinathan merapatkan jurang menerusi tolakannya pada minit ke-78 dan 88 sementara jaringan minit akhir Azmizi meranapkan impian ceria FELDA di laman lawan.

Keputusan 4-3 itu membolehkan PDRM membuka cabaran agresif dalam kumpulan terbabit selepas kekalahan 1-3 kepada Melaka Ahad lalu.

Sementara itu, FELDA jelas hampa dengan kekalahan mengejut terbabit selepas selesa mendahului buat satu ketika berikutan mereka cemerlang mengikat Selangor 2-2 pada aksi sulung minggu lalu.

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 11:45pm
d