arena

'Tak mudah jinak Kedah'

Oleh Malik Muhamad dan Izzali Ismail

KUALA TERENGGANU: Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) berdepan tugas getir untuk meneruskan rentak kemenangan kedua bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Hal ini diakui pemangku ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain yang lebih selesa meletakkan TFC sebagai pasukan bukan pilihan menentang juara Piala FA terbabit.

Beliau turut mengakui di atas kertas sudah menampakkan kelebihan berpihak kepada skuad Helang Merah lebih-lebih lagi apabila beraksi di tempat mereka sendiri yang sudah pasti mendapat sokongan moral tinggi daripada peminat setianya.

“Kedah pasukan bagus dan lengkap di setiap posisi, apatah lagi masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA dan kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada aksi pertama peringkat kumpulan minggu lalu.

“Barisan depan skuad itu juga perlu diawasi kerana mereka antara pasukan yang memiliki jentera serangan paling tajam dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini, kita dapat jangkakan tentangan sengit bakal dihadapi dan sudah pasti pemain kita perlu lebih bersedia dari segi mental serta fizikal.

“Justeru, saya menyifatkan pertemuan kedua kempen Piala Malaysia itu pastinya cabaran getir buat TFC untuk menyaingi lawan yang memiliki reputasi sebagai juara,” kata Nafuzi yang mengambil alih tugas bermula pertengahan Mei lalu susulan peletakan jawatan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Pada aksi pusingan pertama Liga Super musim ini, skuad Helang Merah melakar kemenangan 3-0 di tempat mereka sebelum seri 2-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sementara itu, di Alor Setar, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak juga menjangkakan saingan sengit bakal dilalui skuadnya dalam perlawanan itu.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 5:30am
d