arena

Hazard dah mula meledak di Madrid

Oleh AFP

EDEN Hazard menjaringkan gol pertamanya bersama Real Madrid ketika membantu pasukan itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Red Bull Salzburg dalam perlawanan persahabatan pra musim di Salzburg, Austria, awal pagi ini.

Pemain antarabangsa Belgium, yang berpindah dari Chelsea pada musim panas, menemui jaringan menerusi rembatan kaki kiri selepas menerima umpanan Karim Benzema.

Ketiadaan Gareth Bale bersama Real Madrid masih menjadi tanda tanya selepas pemain berkenaan tidak berada dalam senarai skuad kendalian Zinedine Zidane bagi perlawanan itu.

Bale hanya beraksi dalam dua daripada lima perlawanan pra musim Real, ketika tampil sebagai pemain gantian berdepan Arsenal dan Atletico Madrid, namun kini menjadi bukan pemain pilihan jurulatih dalam skuad berkenaan.

James Rodriguez dan Mariano Diaz, yang kedua-dua dijangka untuk dijual, juga tidak disenaraikan dalam perlawanan di Austria.

Zidane sebelum ini mengesahkan Bale tidak berada dalam senarai perancangannya ketika dia memperkemaskan skuad Real Madrid susulan prestasi yang mengecewakan musim lalu.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 8:21am
d