arena

Azlan dapat sokongan penuh BMW

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUMBA berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman menerima khabar gembira menjelang perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai minggu ini.

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Team yang beraksi dalam kelas ASB1000cc itu mendapat semangat baharu selepas BMW Motorrad tampil secara rasmi sebagai pendokong pasukan.

Ia bermakna, Azlan bakal memiliki sokongan sepenuhnya daripada kilang pengeluar jentera BMW itu yang sebelum ini mengharungi empat pusingan sebagai pasukan persendirian tanpa mendapat sokongan daripada pihak pengeluar.

"Sokongan daripada BMW Motorrad adalah berita gembira untuk pasukan kami dan saya percaya kerjasama ini akan menjadikan pasukan kami lebih kompetitif.

"Pada peringkat awal musim ini, kami berdepan saat sukar. Jentera kami hanya tiba di Malaysia beberapa hari sebelum sesi ujian pra musim di Litar Antarabangsa Sepang.

"Tapi krew pasukan berjaya melakukan pelarasan terbaik untuk jentera saya dan ia membolehkan saya memenangi perlumbaan pusingan pertama di Sepang,” katanya.

Selepas kejayaan itu, Azlan terus kekal konsisten sehingga menyaksikannya muncul juara berganda pada saingan pusingan ketiga di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand, Jun lalu.

Walaupun tampil selaku pasukan persendirian pada empat pusingan awal sebelum ini, tetapi ONEXOX TKKR SAG Team tetap mampu memberi cabaran kepada pasukan lain yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengeluar.

Azlan kini menduduki tempat kedua kelas ASB1000cc dengan mengumpul 123 mata, ketinggalan 27 mata di belakang Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang memimpin saingan.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 9:48pm
d