arena

Adam, Firdaus terpilih mengikuti latihan di Bayern Munich

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

DUA daripada 10 peserta program pencarian bakat bola sepak, Kem Explorer Allianz (AEC), Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih mengikuti latihan bersama pasukan remaja, Bayern Munich bulan ini.

Adam Alif Mustafa dan Muhammad Firdaus Amirrudin, kedua-duanya berusia 16 tahun, mendapat peluang itu selepas berjaya menarik minat lagenda, Bayern Munich, Ivica Olic dan jurulatih belia, Thoms Dollner dengan bakat dan dedikasi mereka di AEC Asia di Singapura baru-baru ini.

Pemain berkenaan berpeluang berlatih bersama jurulatih belia di padang latihan terkemuka, Saebener Strasse serta meneroka pelbagai aktiviti lain selain bola sepak.

Menurut Adam Alif dia terkejut apabila namanya tersenarai berikutan mengalami kecederaan ketika latihan terakhir.

"Memang saya berasa sangat gembira kerana sudah berusaha sedaya upaya dan berjaya untuk pergi ke AEC di Munich.

"Saya tidak sabar untuk bertemu dengan pemain Bayern dan berharap dapat mempelajari pelbagai kemahiran taktikal dan membawa pengetahuan ini pulang ke Malaysia serta merealisasikan cita-cita untuk menjadi pemain profesional," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad di Pekan, Pahang ini.

Firdaus dari SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah turut gembira dan berbangga kerana terpilih untuk program AEC di Munich.

AEC Asia di Singapura yang berlangsung dari 23 hingga 26 Julai lalu dihadiri 43 remaja berusia 14 dan 16 tahun dari Malaysia, China, Indonesia, Laos, Filipina, Sri Lanka, Taiwan dan Singapura.

Sepanjang kem mereka mengambil bahagian dalam sesi latihan setiap hari yang berakhir dengan sebuah pertandingan pada hari terakhir bagi merebut 18 tempat mewakili Asia di Munich.

Pemain Malaysia yang turut bertanding adalah Muhammad Hanif Faizal, Frealrejuel Domuni, Muhammad Syaahir Saiful Nizam, Muhammad Idzrie Idzleann Syah, Darwis Munady Amly, Muhammad Aliff Najmi Rusli, Zaifuddin Sereiji dan Derrick Chua Jingye.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berharap kedua-dua pemain menggunakan peluang itu dengan berusaha bersungguh-sungguh.

"Pemain seperti anda memberi motivasi kepada kami untuk meneruskan program ini. Percaya pada diri anda, teruskan perjuangan. Perjalanan anda tidak berakhir di sini," katanya.

AEC Edisi Bola Sepak di Munich bermula pada 2009 dan terbuka kepada remaja berumur 14 hingga 16 tahun.

Di Malaysia program ini bermula pada 2012 dan dikenali sebagai Kem Bola Sepak Junior Allianz-Liga Malaysia.

Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 12:31pm
d