arena

Kagawa sertai Real Zaragoza

Oleh AFP

BEKAS pemain tengah, Manchester United, Shinji Kagawa melengkapkan perpindahan mengejutkan dari Borussia Dortmund ke pasukan yang beraksi di liga kedua Sepanyol, Real Zaragoza, semalam.

Pemain berusia 30 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun bersama Zaragoza yang menamatkan saingan Divisyen Segunda musim lalu di tempat ke-15 dan tidak beraksi di liga utama sejak 2013.

Kagawa memenangi dua kejuaraan Bundesliga, satu kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua Piala Jerman dan Piala Asia bersama Jepun, di mana dia turut beraksi dalam dua edisi Piala Dunia dan membuat 97 penampilan.

Dia menyertai Dortmund sembilan tahun lalu ketika berusia 20 tahun dan memberikan persembahan terbaik di bawah kendalian jurulatih Jurgen Klopp sehingga membolehkan dia beraksi di United dan Liga Perdana Inggeris pada 2012.

Pemain tengah Jepun itu kembali semula ke Dortmund dua tahun kemudian selepas berdepan musim yang sukar di England, dia berdepan kesulitan untuk mengembalikan semula prestasi terbaik dan menyertai Besiktas pada Januari dengan perjanjian pinjaman selama enam bulan.

Kagawa dijangka diperkenalkan di La Romareda minggu depan dan mungkin membuat penampilan pertamanya apabila Zaragoza memulakan kempen di gelanggang sendiri berdepan Tenerife pada 17 Ogos.

Menurut kenyataan Zaragoza : "Real Zaragoza dan Borussia Dortmund sudah mencapai persetujuan untuk perpindahan pemain bola sepak Shinji Kagawa, yang menyertai pasukan Zaragoza dengan kontrak selama dua musim.

Menerusi Twitter rasmi Dortmund : “Selepas tujuh musim hebat di Dortmund, kami mengucapkan selamat tinggal. Selamanya lagenda hitam dan kuning.”

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 9:02am
d