arena

Maniam puas...

Oleh Ferzalfie Fauzi

PENGENDALI skuad Bawah 15 Tahun (B-15), P Maniam ternyata berbangga dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya menumpaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir AFF B-15 di Choburi, semalam.

Menurut bekas pemain Selangor itu, beliau dan kakitangan yang lain berasa bangga dapat melatih pemain sehingga berjaya menempa kejayaan dan paling manis berjaya mengalahkan Thailand selaku tuan rumah di perlawanan akhir.

"Mereka (pemain) sangat komited dan memberi yang terbaik dalam perlawanan walaupun separuh masa pertama mereka bermain tidak bagus disebabkan angin kuat," katanya selepas final tamat.

Maniam pernah membimbing Selangor dalam saingan Liga Super, nyata terpegun melihat anak buahnya mempamerkan kebangkitan luar biasa pada separuh masa kedua dengan meledak dua gol selepas ketinggalan 0-1 sebelum separuh masa pertama berakhir.

"Kemenangan 2-1 ke atas Thailand saya rasa satu pencapaian terbaik. Paling penting semua staf menjalankan tugas mereka dengan baik sekali untuk meraih kejayaan ini.

"Dalam masa sama saya juga ingin berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kerana datang memberi sokongan kepada kami.

Ia sesuatu yang terbaik buat pasukan. Begitu juga dengan kehadiran ibu bapa kepada pemain," katanya. Selepas ketinggalan 0-1 dengan gol Theekawin Chansri pada minit ke-16, skuad B-15 bangkit di separuh masa kedua melalui jaringan Muhammad Izrin Ibrahim (minit ke-68).

Penyerang, Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin muncul wira apabila meledak gol kemenangan 10 minit sebelum perlawanan tamat. Kejayaan itu menamatkan penantian enam tahun negara selepas muncul juara pada 2013 di Myanmar di bawah bimbingan S Balacandran.

Skuad sama hampir membawa Malaysia layak ke Piala Dunia Remaja B-17 pada 2014 apabila tewas 2-1 kepada Australia.

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 4:58pm
d