arena

Dominasi Hup Wei, Nauraj

Oleh Aida Adilah Mat

MALAYSIA dijangka tidak berdepan masalah untuk terus mendominasi acara lompat tinggi di temasya Sukan SEA Filipina.

Membariskan dua atlet terbaik, Nauraj Singh dan Lee Hup Wei, Malaysia dilihat tidak berdepan masalah menguasai acara itu sejak dari era Loo Kum Zee bermula 1995.

Kedua-dua atlet negara itu dijangka akan bersaing sesama sendiri untuk membawa pulang emas dalam misi membantu Kesatuan Olahraga Malaysia meraih lima emas pada temasya kali ini.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia, Lee Hup Wei menguasai carta kedudukan apabila menghuni ranking ke-21 dunia diikuti penyandang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Nauraj di kedudukan ke-46.

Malah Nauraj sendiri meluahkan keyakinan bahawa Malaysia mampu mengulangi pencapaian di KL2017 apabila menguasai kedudukan 1-2.

"Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk mengulangi pencapaian di Kuala Lumpur. Persaingan antara saya dan Hup Wei sentiasa terbuka.

"Saya yakin kami mampu untuk membawa pulang emas dan perak.

Ia satu persaingan yang sihat antara kami berdua," katanya yang melakukan catatan terbaik musim ini 2.26m di Springermeeting, Garbsen, Jerman Jun lalu.

Manakala catatan terbaik musim ini untuk Hup Wei adalah 2.27m di Terbuka Malaysia Mac lalu.

Malaysia mula mendominasi acara itu sejak 1995 hingga 2003 sebelum Hup Wei meneruskan penguasaan pada 2007 hingga 2011 dan Nauraj mengambil alih kedudukan itu pada 2013 dan 2017.

Ketika ditanya mengenai peluang ke Kejohanan Olahraga Dunia, Nauraj berkata, dia sudah cuba memberi yang terbaik namun gagal melepasi syarat kelayakan iaitu 2.30m.

Justeru pilihan terbaik adalah melupakan Kejohanan Dunia untuk memberi fokus kepada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos ini di Bukit Jalil.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 6:02pm
d