arena

Daniel, Khairil tak sabar pamer aksi di AFC

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS membawa Malaysia muncul juara Kejuaraan AFF Bawah 16 Tahun (B-16), dua tonggak negara, Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar dan Mohamad Khairil Mohd Zain tidak sabar untuk memalukan Jepun di kempen kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), bulan depan.

Daniel dan Khairil melaungkan azam berkenaan selepas mereka tewas 1-3 di tangan skuad Samurai Muda itu dalam saingan Piala Wuhan, Ogos tahun lalu.

Menurut Daniel, kekalahan itu berlaku disebabkan kesilapan sendiri dan aksi bulan depan adalah perhitungan berbeza.

“Kalau tengok aksi menentang Kemboja (menang 2-0 di Kejuaraan AFF 2019), atas kertas kita boleh ‘makan’ tetapi kami tidak boleh ambil mudah. Begitu juga dengan Jepun dan paling penting kami kena fokus serta berikan komitmen lebih 100 peratus.

“Kalah (kepada Jepun) ketika itu pun sebab kesilapan kami sendiri yang membolehkan mereka menjaringkan gol. Dengan komitmen seluruh pasukan, kami yakin pasti boleh,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Ketika ini, semangat juang skuad kendalian P Maniam itu berada pada tahap tertinggi terutama apabila berjaya meraih kejuaraan AFF B-16 di Thailand selepas mengalahkan tuan rumah 2-1 di pentas akhir.

Sebaik tiba di tanah air kelmarin, semua pemain diberi pelepasan selama tiga hari untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga.

“Kami akan bawa momentum ini ke saingan AFC dan sudah pasti kami akan buat persiapan lebih baik. Memang teruja untuk berdepan Jepun kerana mereka adalah gergasi bola sepak Asia.

“Kami sentiasa percaya antara satu sama lain dan Insya-Allah kami mampu mengalahkan Jepun,” kata Mohamad Khairil.

Ditanya mengenai pengorbanan mereka yang hanya diberikan cuti tiga hari untuk sambutan Aidiladha, Muhammad Daniel merasakan ia bukan masalah buat mereka kerana keutamaan adalah maruah Malaysia di pentas antarabangsa.

“Kami sedia berkorban demi negara kerana kami tahu tahun ini kami ada misi penting untuk bawa Malaysia ke Piala Dunia,” katanya.

Selain Jepun, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J kelayakan AFC B-16, akan bersama dua lagi wakil Asia Tenggara iaitu tuan rumah, Laos dan Kemboja.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 6:45am
d