arena

Akhirnya Bale kembali beraksi

Oleh AFP

PEMAIN Real Madrid, Gareth Bale beraksi kali pertama dalam empat siri jelajah pramusim sekali gus tampak masih mampu mendapat tempat di hati jurulatih, Zinedine Zidane.

Bale masuk sebagai pemain gantian ketika Real seri 2-2 menentang Roma di Stadio Olimpico, awal pagi tadi sebelum tewas menerusi penentuan penalti.

Ketika ditanya selepas tamat perlawanan, Zidane enggan mengulas kemungkinan perpindahan penyerang Paris Saint-Germain, Neymar ke Real.

Perlawanan itu yang ketujuh dan aksi pemanas badan terakhir sebelum La Liga membuka tirai minggu hadapan dan Bale hanya bermain tiga perlawanan dengan hanya sebagai pemain gantian.

James Rodriguez yang dijangka meninggalkan Real pada musim panas ini langsung tidak berada di bangku simpanan ketika menentang Roma.

"Bale dan James pemain Real Madrid," kata Zidane. "Apa sahaja boleh berlaku sehingga 31 Ogos tetapi kami tetap mempercayai pemain kami."

Zidane sebelum ini menegaskan Bale tidak termasuk dalam pelan pemulihan Real Madrid dan pemain Wales itu disisihkan dalam tiga aksi persahabatan menentang RB Salzburg, Fenerbahce dan Tottenham.

Tetapi selepas perpindahannya ke China bulan lalu gagal, Bale kembali beraksi menentang Roma dengan masuk sebagai pemain gantian pada setengah jam terakhir perlawanan.

Ketika kedudukan terikat, dia hampir muncul wira namun percubaannya sedikit tersasar dan sekali lagi pada minit ke-92.

Bagaimanapun, Bale belum pasti disenaraikan Zidane bagi berdepan Celta Vigo dalam aksi pembukaan musim pada Sabtu ini.

Real mempamerkan aksi lebih baik ketika menentang Roma selepas mengharungi jelajah pramusim yang hambar dengan hanya dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan dalam masa permainan sebenar.

Semua empat gol dijaringkan dalam babak pertama dengan Roma dua kali bangkit menerusi jaringan Diego Perotti dan Edin Dzeko selepas Marcelo dan Casemiro meletakkan Real di hadapan.

Bale menjaringkan penalti tetapi rembatan Marcelo yang terkena palang mengesahkan kemenangan Roma. Kelab Itali itu membuka tirai Serie A dengan menentang Genoa di tempat sendiri pada 25 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 7:52am
d