arena

Aifa raih pengalaman berharga

Oleh Aida Adilah Mat

PEMAIN skuasy negara, Aifa Azman mengakui meraih pengalaman berharga ketika beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Mara ke final berpasukan dan separuh akhir individu memberi pengertian yang cukup bermakna buat Aifa yang kembali pulih daripada kecederaan dialami awal tahun ini.

Dia yang akan berlepas di Australia Isnin depan berharap dua pertandingan yang akan disertai dalam siri Jelajah PSA itu akan dapat membantu memperbaiki rankingnya ketika ini.

"Ranking saya tidak begitu baik ketika ini jadi saya harap saya dapat muncul juara di salah satu kejohanan di Australia itu nanti sekali gus memperbaiki ranking.

"Sejak saya mengalami kecederaan saya tidak dapat menyertai banyak kejohanan tapi syukur Alhamdulillah semuanya pulih sekarang," katanya menghuni kedudukan 164 dunia.

Biarpun begitu ketika turun beraksi di separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Remaja Dunia lalu, dia mengalami kecederaan lutut.

Namun ia tidaklah begitu serius, juara tiga kali Kejohanan Remaja Terbuka Britain itu dijadualkan menjalani proses rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) sekembalikannya daripada cuti perayaan Aidiladha esok.

Mengulas mengenai prestasinya ketika ini, pemain kelahiran Kedah itu berkata sejak kali pertama beraksi di Kejohanan Remaja Dunia, penyertaannya kali ini memberi impak yang positif.

Katanya, banyak peningkatan yang dapat dilihat dan ia cukup memuaskan hatinya biarpun gagal membantu negara menjulang kejuaraan.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 5:10pm
d