arena

Sedia berdepan barisan pemain 'A-League'

Oleh Ferzalfie Fauzi

BERDEPAN pemain liga utama Australia (A-League) bakal menjadi cabaran terbaru buat pasukan Bawah 18 Tahun (B-18) negara, esok ketika mereka meneruskan aksi Kejuaraan AFF yang berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam.

Jurulatih B-18, Brad Maloney mengakui sendiri bahawa perlawanan itu lebih mencabar buat anak buahnya selepas Australia diletakkan selaku pasukan pilihan saingan Kumpulan B.

Maloney yang juga jurulatih kelahiran Australia, lawannya itu bukan saja mempunyai pemain dari A-League malah ada seorang pemain bermain di England.

"Ia akan menjadi satu aksi sangat sukar buat kita namun pendekatan yang sama bakal digunakan sama seperti pemain lain," katanya.

Ujar Maloney, mereka masih kekal dengan prinsip sama iaitu sentiasa mengharapkan sesuatu yang positif dalam setiap perlawanan yang diharungi di Ho Chi Minh.

Australia yang dibimbing bekas pemain antarabangsa, Gary van Egmond, memiliki pemain dari tiga pasukan terbaik A-League iaitu Perth Glory, Sydney FC dan Melbourne Victory.

Penjaga gol mereka, Kai Calderbank Park beraksi bersama pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley dan diturunkan ketika menumpaskan Thailand 3-1.

Ditanya mengenai aksi menentang Kemboja, Maloney mengakui anak buahnya memberikan persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan kedua peringkat kumpulan.

"Mereka menunjukkan peningkatan dan ia bukan mudah dalam aksi menentang Kemboja. Apa pun saya berpuas hati secara keseluruhan," katanya.

Kemenangan 3-0 ke atas Kemboja memperlihatkan skuad B-18 berada di tempat kedua di belakang Australia dan dibezakan dengan tiga mata.

Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B akan menempah slot ke separuh akhir Kejuaraan AFF B-18 dan tahun lalu Malaysia muncul juara selepas menumpaskan Myanmar 4-3 di Surabaya.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 5:19pm
d