arena

Tok Gajah perkemas 'set piece'

Oleh Asrol Awang

JARINGAN menerusi 'set piece' menjadi fokus utama skuad Pahang bagi mengharungi baki empat perlawanan dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia. 

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh mengakui kemampuan memperoleh jaringan bukan sahaja melalui gerakan serangan tapi turut boleh dilakukan melalui sepakan percuma.

"Situasi bola mati ketika sepakan percuma juga boleh menghasilkan gol yang menarik, jadi kita akan berikan tumpuan lebih kepada 'set piece' bagi perlawanan seterusnya.

"Memang kita banyak buat percubaan melalui 'set piece' ketika sesi latihan dan kebanyakannya berjaya menghasilkan gol.

"Jadi, saya mahu mereka (pemain) menggunakan sebaik mungkin peluang ketika sepakan percuma," katanya.

Ketika Pahang menewaskan Perak 3-0 pada 8 Ogos lalu, satu daripada tiga gol dihasilkan berpunca 'set piece'.

Dengan ketinggian 1.95 meter dimiliki pemain pertahanan import iaitu Herold Goulon, Pahang tidak mempunyai masalah melakukan jaringan menerusi tandukan. 

Kebiasaannya, tugas melakukan sepakan diberikan kepada pemain tengah, Nor Azam Azih. 

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mengharapkan prestasi lebih bagus dipersembahkan skuad kendaliannya pada perlawanan ketiga bertemu Sabah nanti. 

Katanya, enam mata daripada dua perlawanan yang diraih setakat ini belum lagi menjamin tempat ke suku akhir dalam saingan Piala Malaysia. 

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 9:54pm
d