arena

Malaysian Tigers longlai

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara tidak lagi mempunyai perwatakan garang seperti ketika di awal saingan siri jelajah Eropah apabila tewas 0-8 kepada Belgium pada perlawanan terakhir siri jelajah itu di Antwerp, hari ini.

Keputusan itu melengkapkan aksi Malaysian Tigers bersama pemenang Piala Dunia 2018 itu dengan perlawanan pertama Sabtu lalu menyaksikan skuad negara tewas 1-5.

Belgium yang menduduki ranking kedua dunia, memperoleh empat gol selepas berakhir separuh masa pertama.

Gol pertama dijaringkan oleh Antoine Kina m-6 sebelum Tom Boon, Alexander Hendrickx dan Loick Luypaert masing-masing menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti m-14, 22 dan 30.

Belgium langsung tidak memberi peluang kepada skuad negara untuk bangkit apabila menambah lagi empat gol di babak kedua.

Ia bermula dengan gol padang Simon Gougnard m-35 dan hatrik dilakar Hendrickx seminit kemudian.

Felix Denayer menambah gol ketujuh m-44 sebelum Luypaert melengkapkan kemenangan bergaya Belgium dengan jaringan padang m-48.

Disiarkan pada: August 12, 2019 @ 10:37pm
d