arena

Perak, Kedah tekad pulih maruah tercalar

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

DUA finalis Piala FA 2019, Perak dan Kedah mahu bangkit pada perlawanan ketiga Piala Malaysia selepas tumpas kepada lawan masing-masing minggu lalu.

Bagi Perak, rekod kebangkitan hebat ketika menewaskan Pahang di gelanggang lawan untuk ke final Piala FA, gagal diulangi apabila tewas 0-3.

Kedah pula gagal memanfaatkan kelebihan di laman sendiri ketika Terengganu yang juga naib juara Piala Malaysia 2018 terpaksa bermain 10 pemain selepas penjaga golnya, Muhamad Ilham Amirullah Razali dibuang padang kerana mengasari Farhan Roslan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar nyata kecewa dengan prestasi pemain 'The Bos Gaurus' yang disifatkan seperti kurang bersemangat di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

"Saya pun tidak tahu di mana silapnya apabila tewas 0-3. Adakah sebab keletihan? Pemain kami serba tidak menjadi walaupun mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol. "Mereka seperti tidak bersungguh-sungguh sedangkan pengurusan tiada sebarang masalah berkaitan kebajikan, gaji dibayar dan sebagainya.

"Pasukan Perak bukan tidak biasa kalahkan Pahang. Justeru, saya berharap ada perubahan selepas ini untuk perlawanan menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini," katanya ketika dihubungi.

Menurut Tajul Hasnan, kemenangan ke atas Pulau Pinang penting dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia dan menyerahkan kepada ketua jurulatih, Mehmet Durakovic merencana strategi terbaiknya.

"Dia (Mehmet) kena ambil tanggungjawab, kenal pasti punca dan taktikal pasukan. Kita perlu menang dengan Pulau Pinang, kena pertahankan maruah selaku juara Piala Malaysia. Pasukan kita dikenali 'King of comeback' (pakar kebangkitan)," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan enggan mengenang kekalahan 0-2 skuad Helang Merah dan mahu fokus menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

"Saya lihat kita memiliki beberapa peluang tapi gagal diterjemah kepada jaringan. Saya sudah bertemu ketua jurulatih dan pemain semalam dan kita mahu tumpu raih tiga mata menentang PKNS FC," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 11:48am
d