arena

'Jago-jago Jang...'

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN pertahanan tengah Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan melupakan seketika ikatan persaudaraan di atas padang apabila dua pasukan itu bertembung pada saingan Piala Malaysia, Sabtu ini.

Pemain lebih mesra dipanggil Anas itu berazam mahu meneruskan aksi terbaik mencari kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dia memulakan karier bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan sudah bersedia menutup ruang dan menyekat penyerang lawan bergerak bebas sekali gus mengelak pintu golnya daripada dibolosi.

"Kami mahu mencatat kemenangan ketiga beraksi di laman sendiri bertemu skuad Hobin Jang Hobin sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan mengintai peluang lebih awal ke peringkat suku akhir.

"Selepas rakan sepasukan beraksi cemerlang pada dua aksi terdahulu terutama ketika bermain dengan sepuluh pemain menewaskan Kedah tempoh hari, saya percaya kami mampu ulangi untuk mengutip tiga mata.

"Impian peribadi saya untuk menyajikan aksi terbaik dan lebih penting saya mahu pastikan pintu gol tidak bolos sebagaimana ketika bertemu Kedah," ujar pemain kelahiran Kedah dan dibesarkan di Negeri Sembilan sejak berusia enam tahun.

Berdasarkan kedudukan terkini, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu memimpin kumpulan dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dengan menumpaskan PKNS 3-1 dan Kedah 2-0.

Nasrullah yang pernah menyarung jersi DRB Hicom pada 2016 sebelum ke Terengganu mengakui gandingannya dengan bekas pemain import Terengganu FC II,Serhii Andrieiev kian serasi.

"Gandingan dengan Andrieiev semakin baik dan saya pun sudah memahami corak permainan pemain itu biarpun wujud masalah komunikasi sedikit kerana Andrieiev tidak fasih berbahasa Inggeris," kata Nasrullah.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 8:49pm
d