arena

Shahril tekad pertahan kubu PDRM

Oleh Nazri Abu Bakar

PENJAGA gol yang juga kapten PDRM, Shahril Sa’ari bertekad mempertahankan kubunya daripada dirobek penyerang Selangor pada perlawanan ketiga Piala Malaysia di Shah Alam, Ahad ini.

Mengakui penggempur lawan antara yang terbaik ketika ini, namun apa yang pasti perjuangan harus terus kental tanpa mempedulikan kehebatan lawan dalam memastikan 90 minit terbabit mampu menjadi milik PDRM.

"Diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan pastinya saya perlu meniupkan semangat tinggi dalam pasukan walaupun tuan rumah memiliki banyak kelebihan pada aksi di gelanggang mereka.

"Apapun semuanya boleh berlaku jika segala kudrat dikerah melebihi 100 peratus dengan persefahaman sentiasa menjadi tunjang dalam gerakan permainan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengakui kemenangan 4-3 ke atas FELDA United, di Melaka minggu lalu selepas beraksi dengan 10 pemain, selain ketinggalan 1-3 buat suatu ketika menjadi tonik berharga pasukannya bertandang ke Shah Alam.

Menurutnya, dia juga mengharapkan motivasi berkenaan mampu menjadi tonik kekuatan buat dirinya dan semua rakan sepasukan bagi menafikan kelebihan The Red Giants.

Baginya, jika keputusan positif diperolehi pada perlawanan terbabit tidak mustahil The Cops mampu menghidupkan peluang mara ke suku akhir.

Apapun, dia mengharapkan semua perancangan jurulatih, E Elavarasan akan diserap dengan baik sekali gus menyekat momentum tinggi tuan rumah selepas mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Shahril berkata, hajat hati sememangnya mahu meraih tiga mata namun jika pulang dengan satu mata tetap positif untuk memberi saingan getir dalam kumpulan D terbabit yang turut disertai Melaka.

Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 9:22pm
d