arena

Liverpool, Chelsea menanti tiupan wisel Stephanie...

Oleh Reuters

STEPHANIE Frappart mahu membuktikan pengadil wanita berkemampuan seperti pengadil lelaki apabila dia menjadi wanita pertama mengadili perlawanan UEFA Super Cup antara Liverpool dan Chelsea, awal pagi esok (Khamis).

Pengadil wanita dari Perancis berusia 35 itu akan dibantu oleh senegaranya, Manuela Nicolosi dan Michelle O’Neill dari Ireland.

Trio itu sering bekerjasama pada perlawanan besar dan mereka mengendalikan Piala Dunia Wanita tahun ini di Perancis tetapi mereka akan menjadi perhatian di Vodafone Park, Istanbul.

Ditanya sama ada takut menerima menerima kritikan berganda disebabkan kesilapan dilakukan, Stephanie berkata sudah tiba masanya pengadil wanita membuktikan mereka sebagus pengadil lelaki.

“Kami perlu membuktikan kepada diri kami memiliki kemampuan teknikal dan fizikal seperti lelaki. Kami tidak takut salah membuat keputusan. Kami bersedia,” katanya dalam sidang media di Istanbul.

Stephanie yang menjadi pengadil wanita pertama mengadili Ligue 1 Perancis pada April lalu, turut mengenepikan pendapat lebih sukar mengendalikan perlawanan lelaki.

“Saya rasa tidak banyak berbeza kerana bolasepak sama saja. Ia peraturan sama jadi saya akan lakukan perkara sama terhadap perlawanan wanita,” katanya.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard berkata dia terharu dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 12:03am
d