arena

Abang sado Ganu impi kejutan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

DUA atlet bina badan Terengganu tekad mencatat sejarah tersendiri untuk menduduki tempat pertama di Kejohanan Bina Badan Malaysia 2019 (Mr Malaysia) di Kota Kinabalu, Sabah bermula esok hingga Ahad ini.

Muhammad Arif Sanadi, 26, bertanding bagi kategori badan cantik lelaki 170 sentimeter (cm) ke bawah manakala Harizan Khairul Alwi, 21, pula bertanding kategori bina badan 70 kilogram ke atas.

Pengurus pasukan, Muhamad Farzeli Mustafa berkata, beliau berpuas hati dengan persediaan dua atlet terbabit dan berharap mampu memberi saingan sengit kepada semua atlet bertanding.

"Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, atlet bina badan Terengganu tidak pernah berjaya menduduki tempat pertama pada temasya berkenaan. Justeru, kami berharap penyertaan kali ini dapat memberikan keputusan memberangsangkan sekali gus menaikkan imej sukan bina badan di Terengganu.

"Kita mempunyai ramai bakat baru berpotensi namun kurang sokongan menyebabkan ramai atlet Terengganu memilih mewakili negeri lain dan tidak bertanding," katanya.

Sementara itu, Muhammad Arif berkata, penyertaan kali ini yang kedua buatnya yang sebelum ini menduduki tempat keenam kategori sama pada 2017.

"Tahun lepas, saya tidak dihantar untuk mewakili negeri ke Mr Malaysia, jadi tahun ini saya ingin membuktikan kemampuan sebenar dengan matlamat mahu menjadi juara kerana Terengganu tidak pernah mengungguli sukan ini.

"Saya mula membuat persiapan ke Mr Malaysia sejak Disember 2018 dan berharap pengorbanan ini berbaloi," katanya yang pernah menjadi juara bagi ketegori bakat baru Mr Gym Rakyat Terengganu 2014.

Bagi Harizan pula, dia sedar akan persaingan bakal dihadapi kerana semua jaguh bina badan terbaik di seluruh negeri turut menyertainya.

"Biarpun ia penyertaan kali ketiga, saya masih teruja menyertai pertandingan ini. Pada Mr Malaysia 2017, saya berada di tempat keempat untuk kategori bakat baru bina badan 70kg ke atas.

"Tahun ini, saya menyimpan impian menjadi atlet pertama Terengganu dinobatkan juara Mr Malaysia," katanya yang menjalani latihan di gimnasium tiga kali sehari dengan memperuntukkan RM3,000 sebulan termasuk makanan tambahan.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 1:01pm
d