arena

Darah Australia, jiwa Malaysia

Oleh Saiful Affendy Sapran

SEPERTI bola sepak, hoki juga mempunyai pemain berdarah kacukan Malaysia yang boleh diserap untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Selepas Kevin Lim yang pernah tampil bersama Malaysian Tigers sebelum ini, kini muncul seorang lagi pemain, Jake Sherren yang ketika ini beraksi bersama Melbourne HC di saingan Liga Hoki Australia.

Pemain berusia 24 tahun itu mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi sebelah ibunya, Dr Rohani Paimin yang berasal dari Johor manakala bapanya berasal dari Australia.

Sherren dan Rohani ditemui oleh Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika lawatannya ke Melbourne, baru-baru ini.

Jelas Rohani, anaknya itu sememangnya sangat berminat untuk menyarung jersi Malaysian Tigers malah hampir menyertai salah satu pasukan Liga Hoki Malaysia (LHM) pada tahun lalu.

"Dia memang berminat untuk mewakili Malaysia tetapi tidak mempunyai peluang selain terikat dengan komitmen di Australia," katanya.

Rohani berkata, sejak usia 10 tahun lagi Sherren sudah mewakili Hockey Victoria sebelum beraksi bersama Melbourne HC pada musim ini.

"Dia juga menjadi antara barisan pemain Australia yang meraih tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Dunia tahun lalu di Berlin," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 5:45pm
d