arena

Federer, Djokovic mara

Oleh AFP

ROGER Federer dan Novak Djokovic mengatasi lawan masing-masing pada Kejohanan WTA-ATP Cincinnati Masters, hari ini.

Pemain wanita, Serena Williams menarik diri daripada kejohanan itu akibat masalah belakang.

Federer serta Djokovic yang kembali beraksi untuk kali pertama sejak kejayaan pemain Serbia itu mengatasi pemain Switzerland itu pada final Wimbledon, beraksi lancar menjelang kempen Terbuka Amerika Syarikat.

Federer, pilihan ketiga, menewaskan pemain Argentina, Juan Ignacio Londero 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan ketiga saingan itu yang pernah dimenanginya sebanyak tujuh kali.

“Saya gembira biarpun ia sedikit sukar dijangka disebabkan tertangguh akibat hujan,” kata Federer.

“Saya gembira kembali ke gelanggang. Ini adalah permulaan gelanggang permukaan keras. Ia permulaan bagus dengan mencatat kemenangan.

“Saya tidak tahu banyak mengenai lawan saya kerana masih baru dalam jelajah. Saya hanya perlu fokus pada perlawanan saya.”

Juara bertahan, Djokovic mengatasi pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey dengan keputusan 7-5, 6-1.

“Saya menamatkan perlawanan dengan baik biarpun permulaan agak gugup” kata Djokovic yang akan berdepan pemain kelayakan Sepanyol, Pablo Carreno Busta selepas ini.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 9:13pm
d