arena

Akhimullah sedia gegar Tokyo

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Tiga gol yang dijaringkan oleh Akhimullah Anuar Esook pada siri jelajah Eropah membuktikan penyerang muda negara itu semakin serasi bersama skuad senior.

Meskipun ia hanya penampilan pertamanya di luar negara bersama Malaysian Tigers, Akhimullah jelas tidak berasa kekok dan kini bersedia menggalas tugas pada Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Sabtu ini hingga 21 Ogos depan.

Ketua jurulatih, Roelant Oltmans nyata sudah meletakkan kepercayaan tinggi kepada pemain berusia 19 tahun itu apabila menyenaraikannya sekali lagi untuk aksi di Tokyo.

“Saya mahu lebih fokus untuk beraksi di peringkat lebih tinggi. Tiga gol yang saya jaringkan ketika siri jelajah Eropah meningkatkan keyakinan saya.

“Saya perlu manfaatkan peluang yang diberikan jurulatih dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Akhimullah berkata, dia sememangnya menyimpan hasrat untuk kekal lama bersama skuad kebangsaan sejak melakukan penampilan pertama pada Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur, Mei lalu.

“Saya akui berasa lebih selesa sekarang. Pemain senior juga banyak membantu saya dan mereka memberi kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Akhimullah adalah antara tonggak penting skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, tahun lalu sebelum mendapat panggilan menyertai skuad senior.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 5:31am
d