arena

Firdaus minta maaf...

Oleh Firdaus Hashim

“MAAFKAN saya,” itu luahan penjaga gol skuad bawah 18 tahun (B-18) negara Firdaus Imran Fadhil kepada seluruh peminat bola sepak tanah air selepas kesilapannya menggelecek penyerang Thailand hampir memusnahkan impian untuk melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Ho Chi Minh, Vietnam.

Malaysia yang memburu kemenangan keempat bagi menjamin slot selaku juara Kumpulan B dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di tangan Thailand yang sudah dari awal lagi terkeluar daripada saingan.

Namun mujur Vietnam yang turut berpeluang mengintai tempat ke separuh akhir tumbang 1-2 kepada Kemboja sekali gus melegakan kem negara yang dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana kami layak ke separuh akhir. Maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kesilapan yang saya buat.

“Benda macam ni saya letak dalam diri saya. Semua orang buat silap. Cepat atau lambat saja bangkit daripada kesilapan,” kata Firdaus yang turut bertindak sebagai ketua pasukan.

Dia berjanji tidak akan memgulangi kesilapan sama apabila skuad negara turun berdepan juara Kumpulan A, Indonesia pada separuh akhir Sabtu ini.

“Sebagai ketua pasukan, saya ambil tanggungjawab ini, saya minta maaf pada semua, saya janji tak buat lagi. Saya akan kembali lebih kuat selepas ini,” katanya.

Pada aksi di Stadium Thanh Long, kedua-dua pasukan memperagakan aksi menarik dengan masing-masing kerap melancarkan serangan ke kubu lawan.

Begitupun, susulan kesilapan Firdaus yang cuba menggelecek Sitthinan Rungrueang akhirnya memakan diri apabila dia terjatuh sebelum penyerang itu sendiri menolak bola ke gawang negara yang sudah ternganga luas pada minit ke-69.

Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 11:37pm
d