arena

Eksperimen Neymar tak menjadi

Oleh AFP

KISAH pemergian Neymar dari Paris Saint-Germain yang tidak boleh dielak lagi, sudah berlanjutan terlalu lama sekali gus melabuhkan tirai terhadap satu eksperimen yang terbukti gagal.

Tiba dari Perancis pada 2017 dengan harapan perpindahan bernilai rekod dunia ke PSG mampu melepaskannya daripada bayangan Lionel Messi di Barcelona serta peluang memenangi Ballon d’Or namun dua tahun berikutnya dia bakal meninggalkan kelab itu dengan reputasinya terjejas teruk.

Tidak syak lagi penyerang berusia 27 tahun itu adalah pemain yang bijak dan dia berpeluang mendapatkan kejayaan diingininya sama ada bersama pasukan atau sendirian, dengan kembali ke Sepanyol sama ada menyertai kelab lamanya atau Real Madrid.

Bagaimanapun ramai meyakini PSG yang dipimpin Kylian Mbappe, dan bola sepak di Perancis secara amnya akan menjadi jauh lebih baik tanpanya.

Perlawanan pertama juara Perancis pada kempen Ligue 1 musim ini Ahad lalu dengan kemenangan 3-0 ke atas Nimes menyaksikan penyokong menunjukkan kain rentang yang mengaibkan pemain bernilai 222 juta euro (RM1.03 bilion) itu.

Neymar sendiri tidak bermain dalam perlawanan itu, diketepikan susulan ketidak tentuan mengenai masa depannya.

Dia tidak beraksi dalam kejohanan pra-musim Trofi Juara-Juara menentang Rennes di China susulan penggantungan.

Sejak berpindah ke Parc des Princes, dia beraksi dalam hampir separuh perlawanan kelab itu.

Dia ternyata bijak di padang, menjaringkan 51 gol daripada 58 perlawanan tetapi apa yang menjadi tumpuan adalah ketika dia tidak beraksi.

“Saya sukakan Neymar, saya mahu terus menurunkannya bersama-sama Kylian dan yang lain,” kata jurulatih Thomas Tuchel hujung minggu lalu.

“Namun realitinya kami perlu mencari penyelesaian tanpa ‘Ney’. Anda tidak boleh kehilangan Neymar dan terus mencari pemain lain untuk melakukan perkara yang sama.”

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 11:59am
d