arena

Elak jadi mangsa Tambadau

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang yang tampil cemerlang pada dua perlawanan lalu tetap berwaspada apabila berdepan Sabah di Stadium Likas, malam esok. 

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelebihan Sabah beraksi di laman sendiri pastinya memberi cabaran berbeza, tambahan pula skuad itu tewas dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan.

"Sebagai pasukan pelawat, kami perlu tampil dengan aksi berhati-hati sambil berusaha mengekang asakan mereka dan seterusnya cuba menguasai perlawanan," katanya. 

Bagi memastikan skuad Tok Gajah membawa pulang tiga mata, Mohammaed Suffian mengharapkan dua pemain import, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi dapat menghasilkan jaringan. 

Katanya, persefahaman ditunjukkan dua penyerang import itu semakin baik dan diharapkan Nwakaeme serta Kaimbi mampu merobek gawang Sabah.

"Saya berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Kaimbi ketika Pahang menewaskan Perak 3-0 dan diharap sentuhan jaringan itu dapat dilakukan sekali lagi di Likas. 

"Kegigihan Kaimbi membantu pasukan mencatatkan kemenangan wajar diberikan pujian dan semua pemain kita juga bersemangat untuk meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Piala Malaysia kali ini," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 1:06pm
d