arena

Jangan ulangi lagi: Nidzam

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan sama apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, malam esok. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kesilapan ketika tewas 3-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) biarpun selesa mendahului lawan 3-1 menyaksikan pasukan itu gagal mengutip sebarang mata. 

"Saya harap mereka (pemain) tidak ulangi kesilapan sama, sebaliknya tampil dengan aksi konsisten sepanjang tempoh 90 minit perlawanan. 

"Pada masa sama, kami amat memerlukan tiga mata untuk mengelak daripada terus ketinggalan dalam kedudukan Kumpulan D," katanya. 

Mohd Nidzam berkata, sentuhan jaringan penyerang import, Khairul Amri Kamal tetap menjadi taruhan utama kelab itu. 

Namun, katanya, pemain di bahagian tengah dan pertahanan juga perlu lebih fokus dan tidak mudah hilang bola untuk mengelak dihukum pasukan lawan. 

"Saya jangkakan perlawanan sengit bakal dihadapi kedua pasukan dan berharap pemain bijak memanfaatkan segala peluang untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia musim ini," katanya. 

Selepas dua perlawanan, FELDA United sekadar mengutip satu mata, manakala Selangor memungut empat mata dan Melaka United serta PDRM, masing-masing memperolehi tiga mata.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 1:13pm
d