arena

Hazard beli rumah RM51 juta

Oleh Agensi

EDEN Hazard akhirnya berjaya mendapatkan rumah untuk kediaman keluarganya selepas perpindahan bernilai £150 juta (RM759j) ke Real Madrid.

Pemain berusia 28 tahun itu membelanjakan £10j (RM51j) terhadap rumah masa depan di ibu kota Sepanyol itu yang akan menjadi kediamannya sebelum saingan musim baru bermula.

'Casa de Hazard' dapat dilihat di kawasan kediaman mewah La Finca yang menjadi tempat popular menjadi pilihan tempat tinggal rakan sepasukan Real Madrid.

Rumah agam canggih itu yang mendapat sentuhan rekaan arkitek Joaquin Torres, mempunyai enam bilik tidur untuk digunakan oleh Hazard bersama isteri, Natacha dan tiga anak lelaki mereka, Yannis, Leo dan Samy.

Malah, kediaman mewah itu juga mempunyai kolam renang, spa, gimnasium, pawagam serta gelanggang tenis di dalam padang.

Keselesaan dimiliki rumah itu membolehkan Hazard dan bersama keluarganya mengamalkan kehidupan aktif.

Sebelum ini, bekas bintang Chelsea itu berdepan masalah mendapatkan kediaman dalam suasana persekitaran baru ketika dia membuat persediaan menghadapi penampilan sulung dalam La Liga.

Hazard dilaporkan tiba di Bernabeu dengan berat badan bertambah selepas meluangkan masa seketika bersama keluarganya.

Penyerang terbabit dijangka berada dalam skuad Zinedine Zidane untuk perlawanan pembukaan musim menentang Celta Vigo, esok.

Hazard masih mempunyai masa untuk mendapatkan susuk fizikal asalnya dan dijangka memikul tugasan jentera serangan Real Madrid.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 3:31pm
d