arena

Zaki tagih komitmen tinggi pemain

Oleh Mohd Amin Jalil

PENGENDALI Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad mahu pemain melakukan perubahan dalam persembahan apabila turun menentang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Beliau yang kelihatan sedikit tertekan selepas skuad bimbingannya tewas dalam dua perlawanan terdahulu, menggesa anak buahnya meningkatkan prestasi dengan memberikan tentangan habis-habisan kepada skuad lawan bagi mendapatkan kemenangan.

"Perlawanan menentang TFC malam esok boleh diibaratkan sebagai penentu nasib pasukan dalam kempen Piala Malaysia musim ini walaupun saingan masih di pusingan pertama.

"Kita perlu menang perlawanan untuk menghidupkan peluang ke suku akhir dan sasaran kemenangan bukan sesuatu mustahil untuk direalisasikan walaupun kita wakil dari Liga Perdana berbanding TFC dari Liga Super dan dilihat antara pasukan pilihan dalam saingan ini.

"Apa yang saya harapkan, pemain tidak terlalu menghormati TFC hingga menjejaskan rentak persembahan sebaliknya perlu lakukan perubahan dengan melaksanakan taktikal dirancang dan berusaha menterjemahkan dengan baik dalam aksi sebenar," katanya dihubungi, hari ini.

Ketika ini, TFC mendahului carta Kumpulan A selepas mengumpul enam mata berbanding Kedah dan PKNS.

Masing-masing tiga mata hasil satu kemenangan yang dicatatkan manakala Negeri Sembilan belum meraih sebarang mata.

Zaki yang mengambil alih tugas itu daripada ketua jurulatih direhatkan, Mat Zan Mat Aris, hampir sebulan, akui sudah menyediakan strategi ampuh dalam misi mencipta kejutan di tempat lawan itu.

Malah, beliau juga lega kerana hanya pemain tengah, Dzulfahmi Abdul Hadi yang mungkin tidak dapat diturunkan kerana kurang cergas berbanding pemain utama lain yang bersedia menggalas cabaran berdepan TFC.

Katanya, gandingan Jose Almir Neto, Igor Luiz dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir masih menjadi taruhan utama untuk merobek gawang skuad Penyu, biarpun sedar misi menjinakkan skuad lawan itu bukan tugas mudah.

"Walau apa jua perbezaan antara kami dengan pasukan lawan, kehadiran kita ke Kuala Terengganu adalah untuk mendapatkan kemenangan.

"Apa yang saya harapkan pemain dapat beraksi dengan tenang dan memberikan sepenuh komitmen bagi merealisasikan kemenangan, supaya maruah pasukan dapat dipertahankan," kata Zaki.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 4:09pm
d