arena

'Peluang cerah di Las Vegas'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

RATU boling negara, Shalin Zulkifli yakin skuad wanita negara memiliki peluang cerah merangkul pingat emas pada Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) mulai 22 hingga 30 Ogos ini.

Menurutnya, ini kerana skuad negara dibarisi lima pemain berpengalaman beraksi di kejohanan dunia itu dan sudah 'masak' untuk menyerap segala tekanan yang ada.

Katanya, apa yang penting setiap pemain bermain sehabis baik sebagai sebuah pasukan untuk menyaingi pasukan lain.

"Selagi mana mereka bermain sebagai satu pasukan dan saling membantu satu sama lain, kita berpeluang untuk mempertahankan pingat emas dimenangi," katanya dihubungi Arena Metro hari ini.

Shalin antara watak penting skuad negara bersama Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan meraih pingat emas berpasukan pada kejohanan itu pada 2017.

Ia kejayaan ketiga selepas Kejohanan Dunia di Monterrey, Mexico pada 2007 dan edisi di Kuala Lumpur pada 2003.

Namun, kali ini Shalin tidak disenaraikan dan cabaran negara digalas Siti Safiyah, Li Jane, Syaidatul Afifah, Natasha dan Nerosha Keligit.

Pemenang tiga pingat emas kejuaraan dunia pada 2003, 2013 dan 2017 itu berkata, biarpun Nerosha pertama kami beraksi di kejohanan dunia itu dia yakin atlet muda itu mampu menyerlah dengan bimbingan rakan sepasukan.

"Peluang sentiasa ada (pertahan pingat emas berpasukan).

Ada lima pemain senior yang perlu membimbing Nerosha untuk meneruskan legasi pasukan boling wanita negara.

"Saya sendiri sudah memberikan nasihat dan semangat kepada dia (Nerosha) semalam dan ketika mula-mula terpilih.

"Siti Safiyah dan Natasha saya lihat permainan mereka semakin mantap dan hebat ketika ini, tapi pemain lain juga berkaliber untuk memperbaiki permaianan mereka di sana (AS). Yang penting adalah pengakhiran dan bukan bagaimana anda bermula," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berkata, tahap keyakinan pemain cukup tinggi untuk menghadapi kejohanan itu dengan persiapan latihan yang berjalan lancar hampir sebulan.

"Pemain kita sudah bersedia sepenuhnya untuk kejohanan ini. Cabaran memang sengit dan kita jangka ada sekurang-kurangnya lapan pasukan kuat termasuk Colombia, AS, Korea Selatan dan Singapura," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 6:03pm
d