arena

Aaliyah Peluncur Terbaik Asia

Oleh BERNAMA

RATU luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah dinobatkan sebagai pemenang pertama Anugerah Peluncur Terbaik Asia sempena Kejohanan Ski Air Dunia IWWF 2019 di Pusat Sukan Air Putrajaya, hari ini.

Peluncur berusia 16 tahun itu merangkul anugerah yang julung kali diperkenalkan itu atas pencapaian sebagai satu-satunya wanita Asia yang bersaing dalam kesemua tiga kategori yang dipertandingkan iaitu slalom, jumps dan tricks.

Selain itu, Aaliyah turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai peluncur wanita Asia pertama untuk layak ke pusingan akhir acara tricks pada kejohanan dunia apabila menduduki tangga kesembilan dalam kelompok 12 peserta terbaik ke final, Ahad ini.

Meskipun mengalami masalah kecederaan telinga, Aaliyah mengumpul 7,320 mata dalam acara tricks pusingan awal hari ini, sekali gus memadam rekod Asia 7,250 mata.

Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF), dalam kenyataan, berkata Anugerah Peluncur Terbaik Asia kategori lelaki dimenangi oleh peserta berusia 16 dari Korea Selatan, Ju Seong Min.

Anugerah bagi peluncur Terbaik Asia itu menyaksikan tiga peluncur dipilih daripada setiap empat disiplin - slalom, tricks, jump dan keseluruhan bagi kategori lelaki dan wanita.

Sebanyak 24 peluncur dari Asia iaitu dari tujuh negara, China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand dan Malaysia, adalah antara 143 peserta dari 32 negara mengambil bahagian pada kejohanan dunia berkenaan.

Anugerah Peluncur Terbaik Asia:

Lelaki:

Slalom

Emas: Ju Seong Min (KOR)

Perak: Park Jae Young (KOR)

Gangsa: Ryota Funo (JPN)

Tricks

Emas: ​​​​​​​Ju Seong Min (KOR)

Perak: Zhong Junjie (CHN)

Gangsa: Ryota Funo (JPN)

Jump

Emas: Jeong Ji Min (KOR)

Perak: Ju Seong Min (KOR)

Gangsa: Park Jae Young (KOR)

WANITA:

Slalom

Emas: Aaliyah Yoong Hanifah (MAS)

Perak: Weeraya Rosendahl (THA)

Gangsa: Harue Kamiya (JPN)

Tricks

Emas: Aaliyah Yoong hanifah (MAS)

Perak:Jiang Hui (CHN)

Gangsa: Sabelle Kee (SIN)

Jump

Emas: Aaliyah Yoong Hanifah (MAS)

Perak: Harue Kamiya (JPN)

(Hanya dua peserta Asia dalam kategori tersebut).

Disiarkan pada: August 16, 2019 @ 8:50pm
d