arena

Risau kempunan tiga mata: Lampard

Oleh AFP

FRANK Lampard mengakui perlawanan pertamanya selaku jurulatih Chelsea di Stamford Bridge bakal menjadi sesuatu yang dibanggakan namun hanya kemenangan ke atas Leicester akan menjadikan kepulangan ke laman sendiri malam esok sesuatu yang diingati.

Selepas kekalahan berturut-turut dalam dua perlawanan kompetitif terawal kendaliannya, Lampard yang juga legenda Blues terdesak untuk kembali menguasai dengan meraih tiga mata hujung minggu ini.

Penjaring terbanyak Chelsea berusia 41 tahun itu sudah pasti mendapat sambutan wira daripada penyokong setianya biarpun dengan permulaan mengecewakan musim ini.

Kekalahan 0-4 kepada Manchester United pada aksi pembuka tirai Chelsea di Liga Perdana Inggeris diikuti kekalahan menerusi sepakan penalti kepada Liverpool dalam Piala Super Eropah di Istanbul.

Kedua-dua perlawanan menjanjikan sesuatu buat Chelsea namun Lampard sedar beliau akan dinilai menerusi keputusan, justeru amat penting untuk beliau mengelak kekalahan ketiga berturut-turut apabila Leicester berkunjung ke barat London.

“Saya bangga mengendalikan kelab ini. Saya kembali beberapa kali dan menerima sokongan hebat,” kata Lampard.

“Ia pastinya sesuatu yang emosional, hari istimewa buat saya tetapi paling penting adalah mendapatkan tiga mata dan itulah yang saya risaukan.

“Ada perkara baik dalam perlawanan menentang Manchester United di mana kami kalah tetapi tidak bagi saya dan perlawanan menentang Liverpool, kami berdepan salah satu pasukan terhebat dunia dan berjaya menyaingi mereka.”

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 10:43am
d