arena

Naomi 'berkeras' pertahan Terbuka AS

Oleh Reuters

PEMAIN nombor satu dunia Naomi Osaka ‘mungkin’ mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat, biapun terpaksa melanggar arahan doktor, katanya selepas menarik diri daripada Masters Cincinnati kerana kecederaan lutut awal pagi tadi.

Naomi ketinggalan kepada pemain AS Sofia Kenin pada set ketiga suku akhir di Cincinnati apabila mendapatkan rawatan untuk lutut kirinya yang sedia berbalut.

Selepas bermain buat beberapa ketika, pemain Jepun itu menarik diri dengan Sofia mendahului 6-4 1-6 2-0.

Naomi menarik diri selepas Serena Williams, pemain yang pernah ditewaskannya di Flushing Meadows tahun lalu yang tidak menyertai Cincinnati kerana sakit belakang.

Kecederaan itu turut melonggarkan cengkaman Naomi di ranking teratas dengan pemain nombor dua dunia Ashleigh Barty sedia merampasnya kembali jika pemain Australia itu mara ke final.

“Saya benar-benar tak tahu apa yang berlaku dengan kaki saya ketika ini,” kata Naomi.

“Ia mengecewakan, terutamanya apabila saya tidak mahu tercedera begitu hampir dengan Terbuka AS dan kini saya sedikit risau.

“Soalnya, saya boleh menahan sakit dan itulah sebabnya saya terus bermain walaupun saya tidak patut melakukannya.”

Menurut Naomi dia ‘berasa tidak selamat’ untuk terus bermain menentang Sofia menjelang Terbuka AS yang bermula Isnin depan.

“Saya rasa mungkin ada satu peratus peluang saya tidak dapat bermain dan itulah yang membimbangkan saya.

“Pada akhirnya saya akan terus bermain biarpun doktor berkata tidak.”

Penarikan diri Naomi membolehkan Sofia menentang rakan senegara Madison Keys pada separuh akhir.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 11:38am
d