arena

Chong Wei belum sedia jadi jurulatih

Oleh Farah Suhaidah Othman

BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih bagi membimbing pasukan negara di pentas antarabangsa.

Chong Wei memaklumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada menawarnya menyertai barisan jurulatih negara namun buat masa ini dia hanya mahu menumpu perhatian kepada keluarga selain menggalas tugas sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya, dia juga mahu memberi fokus terhadap aktiviti amal dan kebajikan menerusi Yayasan Lee Chong Wei.

"Semua orang tahu selepas saya gantung raket, saya belum pergi berbulan madu lagi dan lagi satu minggu saya akan bersama keluarga ke beberapa negara.

"Buat masa ini saya mahu fokus sebagai Ketua Kontinjen bagi sukan Olimpik, kalau dahulu saya pemain serta atlet, tetapi sekarang sudah jadi pegawai dan saya perlu belajar perkara berbeza untuk menangani karakter pemain dalam pelbagai sukan ke Sukan Olimpik,” katanya.

Chong Wei berkata demikian ketika ditemui di Sesi Beramah Mesra Bersama Hero Badminton Malaysia – Lee Chong Wei di Akademi Badminton Datuk Wira Lee Chong Wei di Ipoh, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Menurutnya, tawaran menjadi jurulatih itu turut disuarakan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika pertemuan bersama Menteri Belia dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya ada cakap sama dia (Datuk Seri Norza), saya rasa tidak sesuai untuk mengangkat tanggungjawab itu dan dia suruh saya galas tanggungjawab itu supaya boleh memberi galakan kepada atlet badminton negara, lebih-lebih lagi menghadapi sukan Olimpik.

"Saya beritahu saya akan cuba berikan terbaik kerana saya baharu sahaja bersara dan tiba-tiba dilantik sebagai pegawai, perkara itu bukan mudah kerana saya perlu belajar banyak perkara.

"Dia juga ada menawarkan saya pembantu tetapi itu adalah tanggungjawab berat dan secara peribadinya saya kena belajar dulu untuk membawa kontinjen negara ke sukan Olimpik,” katanya.

Pada Jun lalu, bekas pemenang perak tiga kali dalam Sukan Olimpik itu mengumumkan persaraannya atas faktor kesihatan selepas 19 tahun menggalas karier sebagai pemain badminton profesional negara.

Ketika ditanya mengenai penyakit kanser hidung dialaminya, Chong Wei sambil tersenyum berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan dan setakat ini kesihatannya berada dalam keadaan baik.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 9:24pm
d