arena

Hatrik Tchetche tewaskan Negeri Sembilan

Oleh Malik Muhamad

HATRIK penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu, Kipre Tchetche memastikan skuad Terengganu FC (TFC) mengukuhkan cengkaman dalam Kumpulan A selepas menumpaskan Negeri Sembilan 3-1 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Kemenangan itu mencerahkan laluan skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain ke suku akhir lebih awal selepas mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan.

Skuad Penyu yang masih bersedih atas pemergian penjaga gol utamanya, Mohd Suffian Abd Rahman kerana serangan jantung petang tadi bermula garang dengan percubaan berbahaya daripada rangkaian penyerang wakil Pantai Timur itu.

Gol pertama Tchetche hadir minit ke-42 menerusi rembatan dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov.

Pada minit ke-53 pemain kelahiran Ivory Coast itu sekali lagi berjaya menghasilkan jaringan hasil hantaran Adib Aizuddin Ab Latif, tapi jaringan itu tidak dikira pengadil, Fitri Maskon kerana mendakwa pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Tiga minit selepas itu, Tchetche menebus kembali kehampaan itu apabila bijak menanduk masuk hasil sepakan sudut Kapten TFC, Lee Tuck untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Kealpaan benteng pertahanan TFC dihukum pelawat pada minit ke-66 apabila hantaran Ferris Danial Mat Nasir bijak disambar Igor Luiz melalui tandukan untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Ketika masa permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, penyerang sensasi skuad Penyu itu melengkapkan malam gemilang TFC apabila menyudahkan umpanan pemain gantian, Malik Mat Ariff bagi memastikan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu melakar kemenangan 3-1.

Terdahulu sebelum perlawanan bermula, pemain kedua-dua pasukan termasuk peminat bertafakur seketika bagi mengingati pemergiannya Allahyarham Mohd Suffian.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 11:28pm
d