arena

Gadis ringkas tapi menarik

Oleh Saiful Affendy Sapran

MELIHAT aksi Nur Zafirah Abdul Aziz memegang kayu hoki di atas padang, persepsi pertama terhadap penyerang skuad hoki wanita negara itu pastinya seorang yang mempunyai perwatakan kasar dan serius baik di dalam atau di luar padang.

Bukan Nur Zafirah saja, begitulah kebiasaannya persepsi ramai terhadap pemain hoki wanita yang dilihat ‘sado’ lebih-lebih lagi ketika beraksi di atas padang bersama kayu hoki mereka. Namun tidak semuanya begitu.

Sebenarnya rata-rata pemain wanita kebangsaan adalah seperti kebanyakan wanita di luar sana.

Mereka mungkin nampak garang di atas padang tetapi kekal feminin apabila berada di luar atau ketika memenuhi jemputan ke majlis rasmi.

Begitulah juga Nur Zafirah atau lebih senang disapa Zaf yang mementingkan penampilan ketika di luar.

“Saya tidak kisah pakai pakaian apa pun tapi ia perlu sesuai dan menepati tema majlis. Saya gemar mengenakan pakaian yang ringkas tetapi menarik.

“Tak semestinya kalau hendak bergaya kena beli pakaian yang mahal. Kalau ia murah dan sesuai dengan penampilan, saya akan beli juga barang itu.

“Saya juga bukan suka membeli-belah macam wanita lain. Saya akan beli jika mampu saja,” katanya.

Jelas Zaf, dia mementingkan penampilan ketika di luar padang kerana tidak mahu dianggap sebagai wanita yang hanya mementingkan dunia sukan.

“Saya pun tak nak orang melihat saya sebagai atlet apabila berada di luar. Sebab kadang-kadang ada yang mungkin berasa tidak selesa.

“Setakat ini tak ada yang tegur penampilan saya di luar. Mungkin mereka sudah biasa melihat gambar saya di Instagram.

“Sebenarnya tak ada yang luar biasa pun antara saya dengan rakan sepasukan lain. Kami sama saja seperti wanita di luar sana,” katanya.

Mengulas mengenai kariernya, pemain berusia 21 tahun itu mengakui akan terus menyarung jersi skuad negara selagi diperlukan.

“Saya meminati sukan ini sejak usia sembilan tahun lagi. Ia bermula daripada kakak yang lebih awal bermain hoki,” katanya yang ketika ini melanjutkan pelajaran di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 6:01am
d