arena

Drop Shot: 'Siapa mampu kawal emosi akan menang'

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

KEJOHANAN Dunia yang dinanti-nantikan oleh semua baik peminat mahupun pemain akhirnya akan membuka tirainya esok di Basel, Switzerland.

Kali ini, saya lebih gemar untuk melihat dengan lebih dekat acara beregu lelaki serta campuran kerana peluang Malaysia untuk mara dalam dua acara itu agak cerah.

Saya bersetuju dengan pandangan ketua jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman tiada pasangan yang benar-benar berada dalam kelas tersendiri untuk mendominasi acara itu.

Di atas kertas sememangnya pasangan Indonesia, Jepun dan China tampak menguasainya namun bagi saya hakikatnya bukan begitu.

Pertaruhan terbaik kita sudah tentunya gandingan nombor 10 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Namun, kita juga tidak boleh menafikan peluang Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Aura Kejohanan Dunia ini lain macam sedikit. Ia tidak seperti kejohanan lain dan itu akan mempengaruhi seseorang pemain.

Maksud saya siapa yang dapat menyerap tekanan dan mengawal emosi dengan baik, ia mungkin akan memberi kelebihan kepada mereka untuk mara lebih jauh.

Bagi acara beregu campuran, sandaran terbaik sudah tentu siapa lagi kalau bukan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Jika mereka berada pada prestasi terbaik, saya yakin pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu ada peluang untuk mara lebih jauh.

Sedikit mengenai perseorangan lelaki, saya berasakan tumpuan kali ini sudah tentu terarah kepada bintang Jepun, Kento Momota yang hadir dengan misi untuk mempertahankan kejuaraannya.

Manakala bagi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuknya. Cukup sekadar dia menimba pengalaman sebanyak mungkin kerana ini penampilan sulungnya pada Kejohanan Dunia. Jumpa lagi!

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 7:02am
d