arena

Thomas 'mengganas' di Kejuaraan BMW

Oleh Reuters

JUSTIN Thomas menikmati ‘salah satu daripada hari pelik buatnya’ apabila mencatat rekod lapangan 11 di bawah par 61 untuk melonjak mendahului enam pukulan pada pusingan ketiga Kejuaraan BMW di Chicago awal pagi tadi.

Catatan eagle dengan eight-iron pada jarak 180 ela pada lubang ke-16 menjadi tumpuan pada hari penuh gemilang buat pemain Amerika Syarikat itu yang memecah rekod lapangan di Medinah dengan dua pukulan, yang 24 jam sebelumnya dipecahkan Hideki Matsuyama.

Matsuyama gagal mengulangi aksi hebatnya awal pagi tadi dengan ketinggalan 10 pukulan apabila mencatat 73 pukulan hari itu.

Thomas mencatat 21 di bawah par 195 keseluruhan dalam kejohanan kedua terakhir musim Jelajah PGA, manakala rakan senegara Tony Finau dan Patrick Cantlay mencatat 68 pukulan untuk berkongsi tangga kedua dengan 15 di bawah par.

“Saya membuat pukulan bola luar biasa,” kata Thomas.

“Ia bukan pukulan putt yang panjang. Saya memukulnya hampir dengan lubang dan memanfaatkan kesempatan yang ada.

“Saya merebut beberapa peluang dan itulah yang berlaku apabila anda mencatat 11 di bawah par.”

Thomas memulakan harinya dengan lima birdie berturut-turut, dan kemudiannya mencatat eagle pada lubang ke-10.

Pencapaian hebatnya berterusan apabila melakukan pukulan chip sejauh 20 kaki dari kawasan rough untuk mencatat birdie di lubang ke-14.

Thomas menamatkan saingan dengan dua eagles, lapan birdie dan satu bogey, malah berjanji untuk terus memberikan asakan pada pusingan akhir.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 11:46am
d