arena

Akhirnya Medvedev julang trofi

Oleh AFP

DANIIL Medvedev, selepas dua kali tewas final kejohanan ATP, berjaya mengekang kemaraan David Goffin 7-6 (7/3), 6-4 awal pagi tadi untuk menjuarai Masters Cincinnati.

Pilihan kesembilan dari Russia itu menamatkan aksinya dengan ace selepas menyelamatkan break point pada game terakhir, menjulang trofi Masters 1000 buat kali pertama selepas muncul naib juara kepada Nick Kyrgios di Washington dan Rafael Nadal di Montreal hujung minggu lalu.

“Ini adalah tiga minggu terhebat sepanjang hidup saya,” kata Medvedev.

“Mentaliti saya berada pada tahap terbaik, servis saya terbaik dan permainan tenis saya benar-benar konsisten.

“Saya tidak mengharungi satu pun perlawanan yang teruk dan harap dapat terus seperti ini untuk beberapa minggu lagi.”

Mengharungi jadual padat selepas Wimbledon, juara baharu itu mengakui: “Saya sungguh keletihan, hampir tak dapat bercakap sekarang.”

Dia juga mendedahkan bahawa dia mula merasai kekejangan pada game terakhir apabila membaling raketnya dalam keadaan marah sebelum menyelamatkan break point.

“Saya fikir final saya di Montreal menentang Rafa adalah penting,” katanya mengenai alasannya untuk terus bertahan.

"Saya mungkin mampu menggunakan pengalaman itu yang tidak dimiliki David.”

Medvedev, yang baru-baru ini berada dalam ranking 10 teratas ATP mungkin melonjak ke tangga kelima hasil prestasi membanggakan sepanjang tiga minggu ini.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 10:01am
d